Thursday, November 25, 2010

Mengapa Ibadah Sembahyang Tidak Membangunkan Insan

Peringkat-peringkat sembahyang, nilaikan dimana tahap sembahyang kita. Dalam era membaiki diri ini, kita cuba check sembahyang kita, nanti akan terjawab kenapa kita tidak dibantu, dan ini juga gambaran secara keseluruhannya, mengapa umat islam terbiar dan tiada pembela dan umat islam kini tidak lagi menjadi umat yang agung seperti dulu.

Golongan 1.
Kita boleh lihat hari ini sudah ramai umat islam yang tak sembahyang, bahkan ramai juga yang tak tahu nak sembahyang, mereka telah jatuh kafir. Imam Malik kata jatuh kafir kalau tak sembahyang tanpa sebab. Imam Syafie kata jatuh fasik kalau ia masih yakin sembahyang itu fardu.

Golongan 2.
Orang yang mengerjakan sembahyang secara zahir sahaja, bacaan pun masih tak betul, taklid buta, main ikut-ikut orang sahaja. Tidak mempelajari cara-cara untuk solat secara rasmi atau tidak. Ilmu tentang sembahyang tiada. Golongan ini tertolak bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaaan derhaka kepada Allah Taala.

Golongan 3.
Orang yang mengerjakan sembahyang, bahkan tahu ilmu mengenai sembahyang, tetapi tak boleh lawan nafsu terhadap tarikan dunia yang kuat. Jadi mereka ini sekejap sembahyang, sekejap tidak. Kalau ada masa dan mood baik ia sembahyang, kalau sibuk dan terkocoh kacah, ada program kenduri, pesta ria, berziarah, bermusafir, letih dan penat, maka ia tak sembahyang.Orang ini jatuh fasik.

Golongan 4.
Orang yang sembahyang, kalaupun ilmunya tepat, fasih bacaannya, tetapi tak khusyuk kalau diperiksa satu persatu bacaannya, lafaznya banyak yang dia tak faham, fikirannya tak terpusat atau tak tertumpu sepenuhnya pada sembahyang yang dilaksanakannya itu disebabkan tak faham apa yang dia baca.Cuma main hafal saja. Jadi fikirannya terus tertumpu pada dunia dan alam sekelilingnya. Fikirannya mengembara dalam sembahyang,orang ini lalai dalam sembahyang. Neraka wail bagi orang ini.

Golongan 5.
Golongan yang mengerjakan sembahyang cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan sembahyang, fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tapi tak dihayati dalam sembahyang itu. Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia, dek kerana faham saja tetapi tidak dihayati. Golongan ini dikategorikan sebagai sembahyang awamul muslimin.

Golongan 6
Golongan ini baik sedikit dari golongan yang ke lima tadi, tetapi main tarik tali didalam sembahyangnya, sekali sekala khusyuk, sekali sekala lalai pula. Bila teringat sesuatu didalam sembahyangnya, teruslah terbawa bawa, berkhayal dan seterusnya. Bila teringat Allah secara tiba tiba maka insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hatinya serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimat dan bacaan didalam sembahyangnya. Begitulah sehingga selesai sembahyangnya. Ia merintih dan tak mahu jadi begitu, tapi terjadi jua. Golongan ini adalah golongan yang lemah jiwa. Nafsunya bertahap mulhamah (ertinya menyesal akan kelalaiannya dan cuba baiki semula, tapi masih tak terdaya kerana tiada kekuatan jiwa). Golongan ini terserah kepada Allah.Yang sedar dan khusyuk itu mudah mudahan diterima oleh Allah, mana yang lalai itu moga moga Allah ampunkan dosanya, namun tiada pahala nilai sembahyang itu. Ertinya sembahyangnya tiada memberi kesan apa apa.

Golongan 7.
Golongan yang mengerjakan sembahyangyang tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz didalam sembahyangnya. Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekelilingnya sehingga pekerjaan atau apa pun yang dilakukan atau yang difikirkan diluar sembahyang itu tidak mempengaruhi sembahyangnya. Walaupun ia memiliki harta dunia, menjalankan kewajiban dan tugas keduniaan seperti perniagaan dan sebagainya namun tidak mempengaruhi sembahyangnya. Hatinya masih dapat memuja Allah didalam sembahyangnya. Golongan ini disebut orang-orang soleh / golongan abrar / ashabul yamin.

Golongan 8.
Golongan ini seperti juga golongan tujuh tetapi ia mempunyai kelebihan sedikit iaitu bukan saja faham, dan tak mengingati dunia didalam sembahyangnya, malahan dia dapt menghayati setiap makna bacaan sembahyangnya itu, pada setiap kalimah bacaan fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tasbihnya pada setiap sujudnya dan setiap gerak gerinya dirasai dan dihayati sepenuhnya. Tak teringat langsung dengan dunia walaupun sedikit . Tapi namun ia masih tersedar dengan alam sekelilingnya. Pemujaan terhadap Allah dapat dirasai pada gerak dalam sembahyangnya. Inilah golongan yang dinamakan golongan Mukkarrabin (Yang hampir dengan Allah )

Golongan 9.
Golongan ini adalah golongan yang tertinggi dari seluruh golongan tadi. Iaitu bukan saja ibadah sembahyang itu dijiwai didalam sembahyang malahan ia dapat mempengaruhi di luar sembahyang. Kalau ia bermasalah langsung ia sembahyang, kerana ia yakin sembahyang punca penyelesai segala masalah. Ia telah fana dengan sembahyang. Sembahyang telah menjadi penyejuk hatinya. Ini dapat dibuktikan didalam sejarah, seperti sembahyang Saidina Ali ketika panah terpacak dibetisnya. Untuk mencabutnya, ia lakukan sembahyang dulu, maka didalam sembahyang itulah panah itu dicabut. Mereka telah mabuk dengan sembahyang. Makin banyak sembahyang makin lazat, sembahyanglah cara ia nak lepaskan kerinduan dengan tuhannya. Dalam sembahyanglah cara ia nak mengadu-ngadu dengan Tuhannya. Alam sekelilingnya langsuk ia tidak hiraukan. Apa yang nak jadi disekelilingnya langsung tak diambil peduli. Hatinya hanya pada Tuhannya. Golongan inilah yang disebut golongan Siddiqin. Golongan yang benar dan haq.

Setelah kita nilai keseluruhan 9 peringkat sembahyang itu tadi, maka dapatlah kita nilai sembahyang kita di tahap yang mana. Maka ibadah sembahyang yang boleh membangunkan jiwa, membangunkan iman, menjauhkan dari yang buruk boleh mengungkai mazmumah, menanamkan mahmudah, melahirkan disiplin hidup, melahirkan akhlak yang agung ialah golongan 7, 8 dan 9 sahaja. Sembahyangnya ada kualiti, manakala golongan yang lain jatuh pada kufur fasik dan zalim.

Jadi dimanakah tahap sembahyang kita ? Perbaikilah diri kita mulai dari sekarang. Jangan tangguh lagi. Pertama-tama soalan yang akan ditujukan kepada kita di akhirat nanti ialah solat / sembahyang kita. Marilah bersama membaiki solat kita agar segara dapat bantuan dari Allah, agar terhapuslah kezaliman, semoga tertegak kembali daulah Islam.Insya Allah...


Marilah kita berMUHASABAH
Dimanakah solat kita?
Adakah solat yang kita lakukan itu telah menunjukkan kesannya dalam gerakan kita/penglibatan kita/tanggungjawab kita sebagai seorang ahli jemaah?
Moga kita bersama harapkan solat kita itu benar-benar menjadi tiang agama.
Adakah segalanya yang kita lakukan kelmarin...hari ini dan esok hasil kesan solat kita?
Oleh itu bersama-samalah kita saling mengingati antara satu sama lain...


Inikah kita dihadapan Allah??

Ustaz, saya kerap tak khusyu' dalam solat saya, walaupun saya faham ketika solat saya berhadapan dengan Allah SWT"

"Cuba ustaz beri sebab yang paling jelas agar saya dapat faham" Demikian permintaan seorang peserta Kursus Penghayatan Solat kepada saya.

Agak sukar juga untuk memberikan satu jawapan memuaskan, mungkin bagi saya ia sememangnya memuaskan hati, tetapi tidak bagi orang lain. Ini kerana asas ilmu seseroang memainkan peranan penting dalam sebarang jenis kefahaman.

Inilah cabaran dalam menyampaikan risalah Islam, jawapan bagi sesuatu isu itu mungkin ‘straight forward' boleh diperolehi di dalam al-Quran, bagaimanapun cara menyampaikannya perlu dipelbagaikan. Terutamanya Allah SWT menyebut bahawa :

وكان الإنسان أكثر شيئ جدلا

Ertinya : Dan sesungguhnya manusia itu adalah yang paling banyak memperdebatkan ( arahan dan larangan Allah SWT )

Cubaan Saya Menjawab

"Apa pandangan anta jika ada seorang kanak-kanak berumur 1 tahun dibiarkan berada di hujung cerun bangunan 20 tingkat, apa agaknya perasaan kanak-kanak itu?, agaknya dia rasa takut atau tidak berada di situ ?" Tanya saya.

"Sudah tentu dia tak berapa takut ustaz, kita pulak yang takut biasanya" jawabnya dengan yakin.

"Ok, saya nak tanya lagi, apa pula perasaan kanak-kanak tersebut jika dibawa di hadapan seekor harimau yang sedang lapar agaknya?" uji saya lagi.

"sama je ustaz, dia tak endah pun, silap haribulan...mungkin budak tu peluk je harimau tu" sambil ketawa kecil dijawabnya kali ini.

"tepat sekali, bagaimana pula jika anta berada depan harimau yang sama? Takut tak agaknya?"

"mestilah ustaz.." balasnya.

"anta minat durian tak?" saya bertanya.

"uii suka sangat tu, favorite saya" tersengeh pemuda itu, nampak lapar terus dia bila sebut nama durian

"macam mana respond kanak-kanak umur setahun jika letak durian yang tajam kulitnya itu depan mata dia, dia suka macam anta tak?"

"tak la ustaz, mana budak macam tu tahu durian tu sedap..susu je yang dia tahu sedap" jawabnya.

Itulah Jawapan

Itulah jawapan bagi soalan anta tadi, anta tanya saya kenapa anta tak khusyuk dalam solat sedangkan anta tahu sedang berada di hadapan Allah SWT...

"Macam mana tu ustaz" berkerut pemuda ini cuba memahamkan dirinya.

Begini..

Kanak-kanak tadi tidak merasa gerun atau takut berada di hujung cerun bangunan tinggi mahupun di hadapan harimau lapar dan juga tidak bergembira sangat bila diberikan durian yang sedap itu.

Berbanding orang dewasa yang apabila diletakkan di cerun bangunan dan di depan harimau lapar, sudah tentu kita berasa takut dan berlari pecut !. Ini kerana ILMU dan KEYAKINAN kita tentang bahayanya keadaan itu. Malah suasana itu sudah cukup menaikkan hormon Adrenaline kita kita untuk bertindak dengan pantas menjauhkan diri dari suasana bahaya itu.

Berbeza kanak-kanak umur setahun tadi kerana dia masih belum cukup ILMU dan TIADA SEBARANG KEYAKINAN tentang erti bahaya di cerun dan depan harimau, malah dia tiada juga ilmu tentang sedapnya durian itu.

Itulah jawapannya, bila kita mengucapkan di dalam doa iftitah kita

إني وجهتُ وجهي للذي فطر السموات والأرض حنيفاً مسلماً

Ertinya : "Sesungguhnya aku menghadapkan wajahku di hadapan pemilik langit dan bumi dalam keadaan sebagai seorang muslim yang suci"

Tidakkah kita merasai kehebatan dan kebesaran Allah SWT, yang merupakan pemilik langit, bumi dan segala isinya. Tidakkah kita dapat merasakan kerasnya bentuk 'azab yang boleh diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia dan lemahnya kita untuk menghadapi sebarang bencana tersebut..tetapi mengapa masih lagi kita tidak khusyu dan hormat serta gerun berada di hadapan Yang Maha Berkuasa seperti ini?

Ia tidak lain, tidak bukan..kerana ilmu umat Islam kini tentang kekuasaan Allah SWT dan keyakinannya terhadap dahsyatnya bentuk azab Allah SWT adalah amat cetek, secetek kanak-kanak berumur 1 tahun tadi.

Justeru, bilakah kita ingin menaikkan ilmu kita ke paras ilmu orang dewasa apabila berhadapan Allah SWT?

Kita kerap bersifat orang dewasa dengan menjaga segala macam pergerakkan, protokol dan segala adab bila berhadapan dengan inidividu berpangkat di dunia. Apakah kerana kita beriILMU dan YAKIN bahawa rezeki kita di pegang oleh orang sebegini?.

Benar, Islam amat menggalakkan menghormati orang lebih tua serta ketua kita. Masalahnya bukan disitu; tetapi ilmu, keyakinan dan hormat kita yang sepatutnya diserlahkan apabila berhadapan dengan Allah SWT kelihatan diserap hebat oleh penghuni dunia dan isinya, sehingga yang berbaki untuk Allah SWT adalah sisa-sisa perasaan hati sahaja.

Padahal, seluruh milik mereka adalah sementara dan semua kita adalah amat amat lemah.

Cita-cita mendewasakan iman dan ilmu terhadap Allah SWT ini tidak akan dapat sama sekali dicapai dengan perangai malas membaca dan menghadiri kuliah agama.

Konsert dan akademi di banjiri, web melalaikan ditumpui tetapi kuliah dijauhi. Inikah inidividu yang mendakwa ingin berada di syurga Allah bersama para Nabi dan menikmati nikmat yang tiada tamanya..

Inikah usaha kita untuk memperolehi nikmat berpanjangan akhirat?.

Inikah kita?

Inikah kita bila berhadapan dengan hukuman larangan Allah dari dosa riba yang maha besar serta seluruh larangan Islam yang lain..masih ingin berdebat walaupun sedar, ia hanyalah untuk menegakkan benang basah dan meneruskan bisnes diri.

Dosa Tinggal Solat Lebih Besar Daripada Zina

Pada satu senja yang lengang, kelihatan seorang wanita berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang. Pakaiannya yang serba hitam menunjukkan dia dicengkam kesedihan manakala kerudungnya menutup rapat hampir seluruh wajahnya.

Walaupun tidak bersolek atau memakai perhiasan lain di tubuhnya, kulitnya yang bersih, memiliki tubuh yang ramping dan rona wajah yang ayu, tetap tidak dapat menghapuskan kepedihan yang sedang membelenggu hidupnya.

Dia melangkah perlahan-lahan mendekati rumah Nabi Musa a.s. Diketuknya pintu perlahan-lahan sambil mengucapkan salam. Apabila terdengar ucapan ‘silakan masuk’ dari dalam, wanita cantik itu melangkah masuk sambil kepalanya terus tertunduk.

Air matanya berderai ketika dia berkata: “Wahai Nabi Allah, tolonglah saya, doakan saya supaya Tuhan berkenan mengampunkan dosa keji saya,” “Apakah dosamu wahai wanita ayu?” tanya Nabi Musa a.s. terkejut. “Saya takut mengatakannya,” jawab wanita cantik itu. “Katakanlah, jangan ragu-ragu,” desak Nabi Musa.

Lalu wanita itu memulakan cerita, “Saya….telah berzina.” Kepala Nabi Musa terangkat, hatinya tersentak. Perempuan itu meneruskan, “Dari penzinaan itu, saya pun…. hamil. Setelah anak itu lahir, langsung saya…cekik lehernya sampai…mati,” cerita wanita itu sambil menangis sekuat-kuat hati.

Mata Nabi Musa berapi-api dan dengan muka yang berang, dia mengherdik, “Perempuan jahat, nyah kamu dari sini! Supaya seksa Allah tidak jatuh ke dalam rumahku kerana perbuatanmu. Pergi!” teriak Nabi Musa sambil memalingkan muka kerana jijik.

Mendengar herdikan itu, wanita itu pun segera bangun dan berlalu dengan hati yang hancur luluh. Ketika keluar dari rumah Nabi Musa, ratapannya amat memilukan. Dia terfikir ke mana lagi dia hendak mengadu kerana apabila seorang Nabi sudah menolaknya, bagaimana pula manusia lain bakal menerimanya? Terbayang betapa besar dosanya dan jahat perbuatannya.

Tetapi dia tidak tahu bahawa sepeninggalannya, Malaikat Jibril turun berjumpa Nabi Musa. Lalu Jibril bertanya: “Mengapa engkau menolak seorang wanita yang hendak bertaubat dari dosanya? Tidakkah engkau tahu ada dosa yang lebih besar daripadanya?”

Nabi Musa terperanjat. “Dosa apakah yang lebih besar dari kekejian wanita penzina dan pembunuh itu?” tanya Nabi Musa kepada Jibril. “Betulkah ada dosa yang lebih besar daripada perempuan yang nista itu?” “Ada,” jawab Jibril dengan tegas. “Dosa apakah itu?” tanya Nabi Musa lagi. “Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan tanpa menyesal. Orang itu dosanya lebih besardaripada seribu kali berzina.”

Mendengar penjelasan itu, Nabi Musa kemudian memanggil wanita itu untuk menghadapnya semula. Dia mengangkat tangan dengan khusyuk untuk memohon ampunan kepada Allah S.W.T untuk wanita itu.

Nabi Musa menyedari, orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan tanpa penyesalan adalah sama saja seperti berpendapat bahawa sembahyang itu tidak wajib dan tidak perlu ke atas dirinya. Bererti, dia seakan-akan menganggap remeh perintah Allah, bahkan seolah-olah menganggap Allah tiada hak untuk mengatur dan memerintah hambaNya.

Sedangkan orang yang bertaubat dan menyesali dosanya dengan bersungguh-sungguh bererti masih mempunyai iman di dalam dada, yakin bahawa Allah S.W.T itu ada dan berada di jalan ketaatan kepadaNya. Itulah sebabnya Allah pasti mahu menerima taubatnya.

MOTIVASI SOLAT

MOTIVASI SOLAT

Apasal laa, aku belum terfikir nak bentang sejadah,
Hidup senang rezeki datang melimpah,
Nak dirikan sembahyang, rakan baik setan suruh lengah-lengah,
Allah tarik nikmatku sampai nangis keluar air mata
darah barulah padah.

Apasal laa aku malas sembahyang,
Allah kasi aku jasad siap dengan bayang-bayang,
Bukan ke lebih baik daripada tiang,
Berdiri tanpa roh malam dan siang.

Apasal laa aku malas sembahyang,
Kerja dah best keluarga pun dah senang,
Negara aman damai tak lagi hidup berdagang,
Takkan 5 minit 5 waktu aku tak boleh nak luang.

Apasal laa aku malas sembahyang,
Allah kasi otak supaya aku tak bangang,
Allah kasi ilmu boleh fikir susah senang,
Allah kasi nikmat kenapalah aku tak kenang,

Apasal laa aku malas sembahyang,
Tengok TV, main bola aku sanggup sampai
petang,
Beli tiket konsert, bayar time shopping aku
sanggup beratur panjang,
Ingat masuk syurga masuk neraka boleh main
hutang-hutang? !!

Apasal laa aku malas sembahyang,
Aku kena ingat umur kita bukannya panjang,
Pagi sihat entah petang nanti dah kejang,
Nanti dalam kubur kena balun sorang-sorang.

Apasal laa aku malas sembahyang,
Seksa neraka cubalah aku bayang,
Perjalanan akhirat memang terlalu panjang,
Janji Allah Taala akan tertunai tak siapa boleh
halang!!!

PEMBENTUKKAN KELUARGA DALAM ISLAM

SIRI AN-NAIM (88)

PEMBENTUKKAN KELUARGA DALAM ISLAM

Dipetik dan disusun oleh :
Haji Othman Haji Ahmad
Pegawai Dakwah JHEUIK

Dikeluarkan oleh :
Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Kelantan

1. PENDAHULUAN

Firman Allah Taala :

وَمِنْ ءَايَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ .

Yang Bermaksud : Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah Ar-Rum : 21)

2. ASAS KELUARGA

Hidup berkeluarga adalah kehendak semulajadi manusia, setiap orang akan berusaha untuk mendapat pasangan hidup yang ideal (sesuai) dengannya bagi menjamin keharmonian hidup berkeluarga.

Pembinaan sesebuah keluarga bermula dari perkahwinan. Oleh itu di dalam mencari pasangan hidup keutamaan hendaklah berpandu kepada garis yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW, sebagaimana sabdanya :

تُنْكِحُ الْمَرْأَةُ ِلأَرْبَع , لِمَالِهَا وَنَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِيْنِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّيْنِ تَرِبَتْ يَدَاكَ .

Ertinya : Dikahwini perempuan itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Utamakanlah yang berugama nescaya kamu jadi tenteram.

3. TUJUAN PERKAHWINAN

Perkahwinan mempunyai tujuan dan matlamat yang besar ia adalah sunnah nabi Muhammad SAW, di dalam Islam perkahwinan adalah ibadat, tidak sama dengan fahaman dan pegangan ugama-ugama lain seperti kristian, budha dan lain-lain yang mana para pembesar ugamanya tidak berkahwin kerana mereka percaya berkahwin bukan ibadat. Sedangkan berkahwin mempunyai tujuan yang murni indah diantaranya ialah :

1. Menghindarkan dari berlaku maksiat zina sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ وِجَاةٌ

Ertinya : Golongan belia sekelian barangsiapa diantara kamu berkuasa (berkemampuan) menyediakan nafkah zahir batin maka hendaklah kamu berkahwin, maka sesungguhnya perkahwinan itu dapat memejamkan mata (mengelak dari melakukan maksiat) dan memelihara kehormatan dan mereka yang tidak berkuasa maka hendaklah ia berpuasa kerana sesungguhnya dengan berpuasa itu adalah menjadi perisai baginya.

2. Menuruti fitrah melahirkan zuriat keturunan anak adam sesuai dengan manusia sebagai khalifah di muka bumi.

3. Menyempurnakan tuntutan kelamin (seks) mengikut hukum Islam.

4. mengelak dari penyakit yang berpunca dari hubungan jenis yang tidak seimbang (seperti siflis, aids, dan lain-lain)

5. Membentuk sebuah kehidupan berkeluarga yang aman damai.

6. Mengamalkan sunnah Rasulullah SAW.

4. KEBAIKAN DARI PERKAHWINAN

Perkahwinan merupakan tali perhubungan di antara lelaki dan perempuan, tali yang dapat mempereratkan kasih sayang, cinta abadi, melahirkan perasaan bertimbang rasa dan bertanggungjawab serta dapat membina sebuah mahligai rumah tangga yang aman damai dan bahagia.

Perkahwinan juga dapat menghindarkan daripada perbuatan jahat dan curang serta membenteras dan menghapuskan segala nafsu kehaiwanan dan persundalan penjenayah zina disenaraikan sebagai penceroboh yang amat keji dan merbahaya yang mana amalan perzinaan boleh membawa kepada keruntuhan moral dan budi pekerti dan akhirnya boleh menjahanamkan kehidupan masyarakat yang bermaruah.

Ugama Islam telah mendisiplinkan umatnya dengan budi pekerti yang luhur, menghalang dari kerosakkan moral terus bermaharajalela dengan penyakit zina yang mana melalui penyakit itu boleh melahirkan satu generasi yang biadap dan tidak bermoral. Ini adalah merupakan kesan negatif dari anak-anak yang dilahirkan dari proses zina. Kerana mereka tidak mendapat pengawasan dan pengawalan yang sewajar dari kedua ibu bapanya, tidak mendapt asuhan dan didikan yang sempurna seperti anak-anak lain yang mempunyai ibu bapa yang bertanggungjawab. Akhirnya hidup mereka terbiar tanpa teguran dan ajaran, bagaikan telah dibunuh hati nurani mereka, hidup di dalam keadaan frust dan melarat tanpa pembelaan dari mana-mana pihak.

Di dalam erti kata yang lain bahawa anak-anak dilahirkan secara haram boleh menimbulkan beraneka bentuk masalah yang sukar diatasi dan menjadi beban yang berat di dalam masyarakat.

5. HUKUM KAHWIN

Berkahwin hukumnya mengikut keadaan seseorang itu :

  1. Wajib : Jika seseorang itu mempunyai nafsu syahwat yang memuncak yang mana sekiranya tidak berkahwin akan menjerumuskannya ke lembah maksiat zina.
  2. Sunat : Jika seseorang itu mampu tetapi masih dapat menjaga dan mengawal dirinya dari melakukan maksiat zina.
  3. Makruh : Jika seseorang itu mempunyai keinginan tetapi tidak mampu dari segi kewangan. Oleh hal yang demikianlah maka Rasulullah SAW menganjurkan kepada golongan ini supaya berpuasa.
  4. Haram : Jika seseorang itu tidak mempunyai keinginan nafsu tetapi berkahwin dengan tujuan tidak jujur yakni mempunyai tujuan jahat terhadap bakal isterinya.

6. PERSEDIAAN SEBELUM KAHWIN

Seseorang yang hendak kahwin hendaklah terlebih dulu mengetahui tentang tugas dan tanggungjawab sebagai suami atau isteri , bapa atau ibu.

Perkara yang paling penting kepada seseorang lelaki yang hendak berkahwin ialah mampu menanggung nafkah bakal isterinya, nafkah zahir dan batin termasuk juga di dalam golongan nafkah iaitu tempat kediaman yang sesuai dan pakaian.

Suami isteri juga hendaklah mengetahui hukum-hukum yang berkaitan dengan perkahwinan seperti nikah, cerai, rujuk, iddah dan sebagainya.

7. CARA MEMILIH JODOH

Di awal tulisan ini saya ada menyebut tentang garis panduan tentang pemilihan mencari jodoh sebagaimana yang diutarakan oleh baginda Rasulullah SAW iaitu keutamaan ialah perempuan yang berugama. Walaupun di dalam hadis tersebut Rasulullah SAW ada menerangkan bahawa seseorang itu akan memilih jodoh kerana hartanya dan ada pula kerana keturunannya. Dan ada juga yang memilih kerana kecantikannya dan tidak kurang pula yang memilih kerana ugamanya, tetapi Rasulullah memberi penekanan kepada yang berugama, kerana yang mempunyai pegangan ugama yang kukuh menjamin kebahgiaan yang sejati.

Wanita yang mempunyai sifat-sifat lain tetapi tidak mempunyai ugama tidak menjamin kebahagiaan yang berkekalan bahkan banyak akan menimbulkan kesulitan.

8. KEWAJIPAN SUAMI TERHADAP ISTERI

Suami adalah payung kepada sebuah keluarga, dialah juga nakhoda kepada sebuah bahtera rumahtangga, oleh itu suami mestilah mengetahui serta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isterinya.

Diantara tanggungjawab ialah

  1. Bergaul dengan cara yang baik serta memimpin dan memberi perlindungan terhadap isteri dan keluarganya.

  1. Melahir dan memberi kasih sayang yang sejati serta tidak menyakiti isteri.

  1. Menghormati dan menjaga rahsia dan keaifan isteri serta menjauhkan perasaan cemburu yang membabi buta.

  1. Berlaku adil dalam memberi nafkah dan menolong isteri di dalam kesempitan dan kesusahan.

  1. Membantu isteri di dalam tugas-tugas menjaga dan mengasuh anak.

  1. Sabar di atas kelemahan isteri.

  1. Memberi kebebasan berfikir kepada isteri.

  1. Memberi nasihat kepada isteri sekiranya ia melakukan kesalahan dan bertindaklah mengikut hukum syarak sekiranya nasihat itu tidak diendahkan.

  1. Memberi bimbingan dan pengajaran ugama dan membenarkannya mendapat pengajaran ugama sekiranya ia tidak mampu memberi pengajaran ugama.

  1. Berlaku adil di antara isteri-isterinya bagi yang berpoligami.

  1. Bijaksana ketika timbul perselisihan dengan isteri dan hendaklah suami mengendalikannya dengan penuh cermat dan ajaran-ajaran yang baik serta menahan diri jangan terlalu ikut perasaan hati.

9. KEWAJIPAN ISTERI TERHADAP SUAMI

Isteri ialah orang terpenting bagi pembantu dan menolong tugas-tugas dan peranan suami dan ada kalanya isteri terpaksa mengambil alih tuga suami ketika ketiadaannya.

Diantara tugas dan tanggungjawabnya ialah :

  1. Hormat dan taat kepada suami.

  1. Membantu suami di dalam mengurus rumah tangga dan mendidik anak-anak menjadi manusia yang berguna.

  1. Bermanis muka ketika berhadapan dengan suami.

  1. Menghargai pemberian suami walaupun sedikit.

  1. Berjimat cermat di dalam perbelanjaan serta sederhana dalam penghidupan.

  1. Menjaga rahsia suami dan rumahtangga.

  1. Menjaga keaifan dan maruah suami.

  1. Memelihara dan menjaga keaifan diri sendiri.

  1. Mengurus dan mengatur rumahtangga serta memelihara hubungan kekeluargaan.

  1. Bersabar di dalam menghadapi masalah-masalah yang timbul di dalam kehidupan berumahtangga.

  1. Mengadakan hubungan-hubungan keluar hendaklah dengan persetujuan dan izin suami.

10. KEWAJIPAN BERSAMA

Suami isteri adalah bertanggungjawab di dalam mengendalikan urusan rumahtangga, oleh itu mereka berdua mempunyai kewajipan bersama diantara kewajipannya ialah :

  1. Kedua belah pihak hendaklah saling hormat-menghormati dan tolong-menolong.

  1. Saling percaya dan mempercayai diantara satu sama lain.

  1. Mengelakkan dari melahirkan rahsia masing-masing dan juga keaifan yang mungkin timbul dari mana-mana pihak walau di waktu berlaku salah faham dan perbalahan.

  1. Jangan mudah terpengaruh dengan hasutan luar, halusi dan periksa dengan teliti terlebih dahulu.

  1. Jauhi dari perkara-perkara yang boleh membawa kepada salah faham.

  1. Rela berkorban untuk kebahagian rumah tangga.

  1. Kedua belah pihak hendaklah bersabar di atas kelemahan dan kekurangan yang timbul samada dari pihak suami ataupun isteri.

  1. Hendaklah berbincang dan membuat perundingan di dalam sesuatu masalah.

  1. Sama-sama bertanggungjawab memimpin dan mendidik anak.

  1. Kedua belah pihak hendaklah sanggup menerima teguran dan nasihat dari pihak yang lain dan begitu juga hendaklah sama-sama memberi nasihat dan teguran demi kebaikan bersama.

Di dalam penentuan hak tanggungjawab bersama yang mesti disempurnakan oleh suami isteri adalah merupakan asas yang teguh yang dapat menjadi keharmonian rumahtangga, Rasulullah SAW bersabda pada "Hujjatul Wida'"

اَلاَ إِنَّ لَكُمْ عَلَى نِسَائِكُم حَقًا وَلِنِسَائِكُم عَلَيْكُمْ حَقًّا غَيْرَ أَنَّ الإِسْلامِ قَدْ خَصَّ الرَّجُلِ بِدَرْجَةٍ ِلاعْتِبَارَاتٍ مُعَيَّنَةٍ لِقَوْلِهِ تَعَالىَ وَلَهُنَّ مِِثْلُ الَّذِيْ عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوْفِ وَلِلرِّجَالُ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٍ وَقَوْلِهِ تَعَالَى : الرِّجَالُ قَوَّامُوْنَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللهُ بَعْضُهُم عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوْا .

Ertinya : Jaga ! Sesungguhnya kamu ada mempunyai hak ke atas isteri kamu dan demikian pula isteri-isteri kamu kamu terhadap kamu sendiri. Selain dari itu Islam telah menentukan kelebihan lelaki di atas perempuan kerana beberapa faktor yang tertentu seperti maksud firman Allah SWT :

Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang bersama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya. Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami) mempunyai satu darjah kelebihan atas orang-orang perempuan (isteri) yakni sebagaimana seorang isteri menanggung kewajipan terhadap suami yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik maka si suami juga menanggung kewajipan terhadap isteri yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik.

Dan firmanNya lagi : Orang-orang lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal kepada tanggungjawab di atas perempuan-perempuan (isteri) disebabkan Allah telah melebihkan orang-orang lelaki ke atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki itu memberi nafkah (kepada isterinya).

11. PERGAULAN YANG BAIK

Perkara yang amat penting di dalam membina kebahagian rumahtangga ialah cara pergaulan yang baik, letakkan segala harapan di atas kerukunan rumahtangga, Rasulullah SAW telah memberi kita banyak panduan tentang pergaulan di dalam kehidupan berumahtangga baginda tidak pernah bermasam muka dengan isteri-isteri baginda. Baginda sendiri yang menjahit kasut baginda manakala terkoyak. Di dalam soal kebaikan ini Rasulullah SAW pernah bersabda :

خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهلي

Ertinya : Sebaik-baik kamu ! sebaik kamu bagi ahlinya dan aku sebaik-baik bagi ahliku.

Di dalam pergaulan harian di antara suami isteri mungkin ada ketika tergeser sekali sekala. Maka soal mengatasinya hendaklah berpandukan kepada hukum Islam. Di dalam hubungan ini Allah SWT. berfirman :

وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا

Ertinya : Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (Nushuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukan mereka dari tempat tidur dan (kalau juga mereka masih berdegil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajar) kemudian jika mereka taat kepada kamu maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka, sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.

Para isteri wajib menjaga maruah dirinya samada di hadapan suami atau semasa ketiadaannya dan juga menjaga maruah dan kemuliaan suaminya. Bergaullah dengan suami dengan penuh kasih sayang, turutilah segala perintah dan kehendaknya selama mana perintahnya tidak bercanggah dengan hukum syarak. Di dalam hubungan ini Rasulullah SAW bersabda :

لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدُ ِلأَحَدٍ َلأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا

Ertinya : Sekiranya aku diperintah akan seseorang supaya menyembah seseorang yang lain nescaya aku menyuruh perempuan menyembah akan suaminya.

Isteri adalah ratu rumahtangga bagi suami, dialah tempat untuk melepaskan kerisauan oleh itu jagalah keperibadian sebagai seorang isteri yang solehah. Rasulullah SAW bersabda :

خَيْرُ النِّسَاءِ إِمْرَأَةٌ إِذَا نَظَرْتُ إِلَيْهَا سَرَّتْكَ وَإِنْ أَمَرْتَهَا أَطَاعَتْكَ وَإِنْ غِبْتَ عَنْهَا حَفِظَتْكَ فِيْ مَالِكَ وَنَفْسِهَا

Ertinya : Sebaik-baik wanita ialah isteri yang apabila engkau melihat kepadanya membuat engkau gembira dan apabila engkau menyuruhnya sesuatu ia menuruti engkau dan apabila engkau tiada di sampingnya dia menjaga harta engkau dan mengjaga maruah dirinya.

12. TANGGUNGJAWAB & KEWAJIPAN IBU BAPA TERHADAP ANAK-ANAK

Anak adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan terhadap dua ibu bapa supaya mengasuh , mendidik dan memberi pengajaran yang sempurna , di antara tanggungjawabnya ialah :

  1. Membantu keperibadian anak bermula dari cara memilih isteri sebagai bakal ibu kepada anak-anaknya dari perempuan yang solehah, perempuan yang berugama.

  1. Semasa mengadakan hubungan jenis dengan isteri hendaklah sentiasa memohon perlindungan dari Allah supaya benih yang akan dilahirkan mendapat hidayat dan taufik Allah dengan didahului doa sepertimana yang diajar oleh Rasulullah SAW :

اَللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا

Ertinya : Ya Allah jauhkanlah kami akan syaitan dan jauhilah syaitan ke atas apa (anak) kurniaan Engkau kepada kami.

  1. Azan dan Iqamah semasa anak mula lahir dari kandungan ibu.

  1. Menyusu dengan susuan ibunya sendiri.

  1. Mengadakan aqiqah , bercukur dan memberi nama yang elok pada hari ketujuh.

  1. Berkhatan samada anak lelaki dan perempuan.

  1. Memberi didikan dan asuhan yang sempurna.

  1. Memberi pelajaran dunia dan akhirat.

  1. Memperjodohkan apabila layak dan sesuai.

  1. Selalulah berunding, berbincang serta memberi nasihat yang berguna tanpa paksaan yang melulu. Rasulullah SAW bersabda :

اَكْرِمُوا أَوْلاَدَكُمْ وَأَحْسِنُوا أَدَابَهُمْ

Ertinya : Muliakanlah olehmu anak-anak kamu dan perelokkan tingkah-laku mereka.

13. KESIMPULANNYA

Keluarga yang bahagia adalah keluarga yang dibina di atas asas yang paling teguh dan betul mengikut Islam serta yang dapat memenuhi ciri-ciri dan kehendak syariat Islam. Dengan terlaksananya aturan tersebut InsyaAllah segala cita-cita untuk membina sebuah istana keluarga akan mendapat kejayaan di samping mendapat rahmat dan nikmat dari Allah SWT. Semua pihak akan dapat menikmati kebahagian dan kerukunan rumahtangga. Sesuai dengan firman Allah SWT :

لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً

Ertinya : Supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan diantara kamu (suami isteri)) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

بارك الله لي ولكم وأستغفر الله العظيم لي ولوالدي ولجميع المسلمين والمسلمات . والله أعلم بالصواب وإليه المرجع والمأب والحمدلله رب العالمين .

KESEMPURNAAN SEMBAHYANG

SIRI AN-NAIM (44)

KESEMPURNAAN SEMBAHYANG

Disusun oleh :
Haji Othman Haji Ahmad
Pegawai Dakwah JHEAIK

Terbitan : Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Kelantan.

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين , والصلاة والسلام على رسول الله , سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين .

PENGERTIAN SEMBAHYANG :

Sembahyang pada bahasa ialah beribadat, rahmat dan doa dan pada syarak ialah beberapa perkataan, perbuatan yang tertentu yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam.

Sembahyang adalah yang paling afdhal di antara rukun Islam selepas beriman kepada Allah SWT kemudian puasa kemudian haji kemudian zakat.

Hukum tentang wajib sembahyang sebagaimana Firman Allah Taala :

فَأَقِيْمُوا الصَّلاَةَ إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ كِتَابًا مَوْقُوْتًا

Yang bermaksud : Maka dirikanlah olehmu akan sembahyang sesungguhnya sembahyang itu difardhukan ke atas orang mukmin pada waktu yang ditetapkan. (Surah An-Nisa' : 103)

Sembahyang difardhukan pada malam Isra' Mikraj Nabi Muhammad SAW iaitu pada malam 27 rejab, selepas 10 tahun 3 bulan Rasulullah dilantik sebagai Nabi.

Firman Allah Taala :

إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ كِتَابًا مَوْقُوْتًا

Sesungguhnya sembahyang difardhukan ke atas orang mukmin pada waktu yang tertentu, dan sabda junjungan Nabi Muhammad SAW :

فرض على أمتي ليلة الإسراء خمسين صلاة فلم ازل اراجعه واسأله التخفيف حتى جعلها خمسا في كل يوم وليلة

Yang bermaksud : Telah memfardhukan oleh Allah Taala ke atas umatku pada malam Isra' mikraj sembahyang 50 waktu , oleh itu aku berulang-ulang mengadap Allah dan meminta kurangkan sembahyang sehingga dikurangkan kepada 5 waktu sehari semalam.

WAKTU-WAKTU SEMBAHYANG

  1. Zohor - Awal waktunya gelincir matahari, dan akhirnya apabila jadilah bayang sesuatu itu sama panjang dengannya.
  1. Asar - Awal waktunya ialah apabila selesai waktu Zohor dan berkekalan hingga lenyap sekalian matahari di ufuk barat.
  1. Maghrib - Awal waktunya dengan lenyapnya matahari di ufuk barat dan berkekalan sehingga sempurna hilang cahaya kemerahan di ufuk barat.
  1. Isyak - Awal waktunya dengan lenyapnya cahaya kemerahan dan berkekalan sehingga naik fajar.
  1. Subuh - Awal waktunya dengan naik fajar dan berkekalan sehingga naik matahari.

SYARAT-SYARAT WAJIB SEMBAHYANG

  1. Islam. Tidak wajib sembahyang kepada orang-orang kafir. Bagi orang Islam yang meninggalkan sembahyang, wajib qadha' dan begitu juga orang yang murtad wajib qadha' sembahyang yang ditinggalkan di masa murtadnya.
  1. Baligh. (sampai umur pada syarak) sama ada kerana cukup umur 15 tahun qamariah atau bermimpi atau dengan kedatangan haidh. Ada pun kanak-kanak yang belum baligh tetapi berumur 7 tahun yakni kanak yang sudah mumayyiz maka berkewajipan ke atas dua ibu bapa menyuruh anak-anak sembahyang dan apabila genap 10 tahun tetapi tidak mengerjakan sembahyang maka hendaklah dua ibu bapa memukulnya dengan pukulan ringan yang tidak membawa kepada kecederaan.
  1. Berakal. Oleh itu tidak sah sembahyang bagi orang gila dan tidak wajib qadha' ke atasnya. Begitu juga tidak sah sembahyang bagi orang yang pitam dan mabuk dan dan tidak tidak juga wajib qadha' ke atasnya. Tetapi sekiranya mabuk itu disengajakan wajib qadha' sembahyang yang ditinggalkan semasa mabuk itu.
  1. Suci daripada haidh dan nifas.
  1. Sejahtera penglihatan dan pendengaran, yakni orang yang buta dan tuli serentak semenjak kecil yakni belum baligh tidak wajib sembahyang , buta sahaja atau tuli sahaja wajib sembahyang.
  1. Sampai seru, oleh itu tidak wajib sembahyang bagi mereka yang tidak sampai seruan Islam.

SYARAT-SYARAT SAH SEMBAHYANG

  1. Suci daripada hadas besar dan hadas kecil.
  1. Menutup aurat. Aurat lelaki di antara pusat dan lutut dari sudut pandangan sebelah atas dan keliling, begitu juga aurat hamba perempuan. Aurat perempuan dan khunsa seluruh badan kecuali muka dan dua tangan.
  1. Mengetahui kaifiat sembahyang yakni peraturan sembahyang termasuk rukun dan sunat dengan sekira-kira dapat membeza antara farhu dan sunatnya.
  1. Suci daripada najis yang tidak dimaafkan, sama ada di tubuh di pakaian atau di tempat sembahyang dan jangan menanggung sesuatu yang berhubung dengan najis di dalam sembahyang. Najis yang dimaafkan ialah sedikit darah, sedikit nanah, air kudis dan debu jalan raya.
  1. Mengetahui masuk waktu dengan yakin atau dengan dzan masuknya melalui ijtihad.
  1. Mengadap kiblat dengan sekelian badan.
  1. Jangan menambah rukun fi'li dengan sengaja.
  1. Jangan melakukan perkara yang membatalkan puasa di dalam sembahyang seperti makan minum.

WUDHU' (AIR SEMBAHYANG)

Bersuci adalah perkara yang paling penting di dalam beribadat kepada Allah, oleh itu seseorang yang akan melakukan ibadat sembahyang diwajibkan berwudhu' terlebih dulu sebagaimana Firman Allah Taala :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاَةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Yang Bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali. (Surah Al-Maidah : 6)

Sabda Nabi Muhammad SAW :

لا يقبل الله صلاة من احدث حتى يتوضاء

Allah tidak menerima sembahyang seorang yang berhadas sehingga mereka mengambil wudhu'.

CARA-CARA WUDHU'

Fardhu wudhu' mengandungi enam perkara.

  1. Niat.

Niat hendaklah disertakan dengan awal membasuh sebahagian daripada muka, tidak disyaratkan berkekalan niat sehingga selesai membasuh muka, tetapi jangan memalingkan niat kepada perkara lain.

Lafaz niatnya ialah :

نَوَيْتُ الْوُضُوْءَ .

Sahaja aku ambil air sembahyang. Atau

نَوَيْتُ الطَّهَارَةَ عَنِ الْحَدَثِ

Sahaja aku bersuci daripada hadas.

  1. Membasuh Muka.

Kawasan muka ialah dari sebelah atas bermula dari tempat tumbuh rambut kepada dan sebelah bawahnya ialah dagu, lebarnya ialah dari anak telinga kepada anak telinga yang satu lagi dan kelilingnya dikira kadar bulat muka.

Wajib membasuh semua kawasan muka tersebut dan juga bulu-bulu yang tumbuh di dalam kawasan muka sama ada jarang atau lebat.

Janggut, misai dan dua tali tudung (jambang) lelaki yang lebat sekira-kira tidak kelihatan kulit yang di bawahnya memadailah membasuh yang zahirnya sahaja. Jikalau tidak lebat dengan sekira-kira kelihatan kulit yang dibawahnya maka wajib menyampaikan air kepada batinnya dan juga kulit yang di bawahnya.

  1. Membasuh dua tangan sehingga dua siku.

Dua siku juga wajib di basuh kerana ianya termasuk anggota wudhu' dan wajib membasuh barang yang di atas dua tangannya daripada bulu zahir dan batin sama ada lebat atau nipis dan juga di celah kuku.

  1. Menyapu kepala

Iaitu menyapu sebahagian daripada kepala atau menyapu sebahagian daripada rambut yang berada di dalam kawasan kepala. Boleh disapu di mana bahagian kepala sama ada di bahagian hadapan, belakang, di sebelah kiri atau di sebelah kanan dengan sekira-kira dinamakan bahagian kepala.

Tidak sah wudhu sekiranya disapu ke atas rambut yang disanggul yang mana apabila diuraikan sanggul itu akan terkeluar daripada kepala. Tidak disyaratkan bahawa menyapu itu dengan digerakkan tangan bahkan memadai dengan meletakkan tangan yang basah ke atas kepala tanpa digerakkan.

  1. Membasuh dua kaki sehingga dua buku lali.

Dua buku lali juga wajib dibasuh kerana ianya termasuk anggota wudhu'.

Wajib membasuh barang yang ada di atas dua kaki dari bulu dan sebagainya sepertimana juga hukumnya pada membasuh anggota tangan.

Perhatian :

Wajib menghilangkan segala benda yang mencegah sampai air kepada kulit seperti minyak , sisik ikan, getah, dakwat yang tebal yang tidak kelihatan warna kulit, duri atau sebagainya. Adapun kuping kudis atau selupat kulit tidak wajib dihilangkan walaupun mudah pada menghilangkannya.

Hukum ini berlaku pada semua anggota wudhu'.

  1. Tertib

Yang dimaksudkan dengan tertib di sini ialah melakukan peraturan mengambil wudhu' mengikut susunan sebagaimana yang disebut di atas tadi satu persatu melainkan niat kerana niat hendaklah disertakan dengan awal membasuh satu bahagian daripada muka.

Sekiranya seseorang membenar akan empat orang lain membasuh akan anggota wudhu'nya dengan serentak dengan izinnya maka terangkat akan mukanya sahaja.

Adapun jika menyelam seseorang yang berhadas kecil di dalam air dengan berniat wudhu' maka sahlah wudhu'nya kerana hasil tertib dengan hanya berapa lahzoh yang sedikit sahaja.

SUNAT-SUNAT WUDHU'

Sunat-sunat wudhu' itu banyak sekali di antaranya ialah :-

  1. Membaca :

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

  1. Membaca :

بِسْمِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Bacaan-bacaan ini hendaklah pada permulaannya, jika terlupa baca pada permulaannya bolehlah dibaca pada pertengahannya.

  1. Membasuh dua tangan hingga pergelangan tangan.
  1. Berkumur-kumur.

Hasil berkumur dengan memasukkan air ke dalam mulut, dan yang akmalnya diedarkan air di mulut dan dibuangkannya.

  1. Menghisap air ke hidung.

Hasil menghisap air ke hidung dengan memasukkan air ke dalam hidung. Dan sebaik-baiknya ialah dengan dihisapkan air ke hidung dan dihembus keluar.

  1. Menyapu sekalian kepala.
  1. Menyapu dua telinga luar dan dalam.
  1. Menyeliti janggut, misai dan jambang (dua tali tudung)
  1. Menyeliti jari-jari tangan dan kaki.

Sekiranya tidak sampai air ke celah-celah jari tanpa diseliti maka ketika itu wajib diseliti.

  1. Mendahului tangan kanan dan kaki kanan ke atas yang kiri bahkan makruh mendahulukan yang kiri ke atas yang kanan dan kiri serentak. Adapun dua telinga tidak mengapa disapukan serentak.
  1. Basuh dan sapu ke atas anggota-anggota tersebut sebanyak tiga kali. Dan makruh melebihi tiga kali.
  1. Muwalah (موالاة) Yakni berturut-turut basuh atau sapu di antara satu anggota dengan anggota yang lain.
  1. Mengadap Kiblat.

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN WUDHU'

1. Keluar sesuatu daripada salah satu kemaluan (Qubul, dubur) . Adapun keluar sesuatu daripada kemaluan orang mati tidak batal wudhu'nya dan begitu juga khunsa yang mempunyai dua alat kelamin yang mana salah satu dari kedua alat itu keluar sesuatu. Melainkan keluar kedua-duanya sekali. Tidak membatalkan wudhu dengan keluar mani.

2. Tidur dengan tidak tetap papan punggungnya. Adapun tidur dengan tetap papan punggungnya tidak batal wudhu seperti tidur dengan duduk bersila. Tidur berdiri atau melentang atau berguling batal wudhu'.

3. Bersentuh kulit lelaki dengan kulit perempuan yang sah nikah yang mana sudah sampai had syahwat pada ‘uruf (pada kebiasaan orang ramai).

Bersentuh kulit lelaki atau perempuan dengan khunsa tidak batal wudhu' begitu juga tidak batal wudhu bersentuh sesama khunsa. Bersentuh dengan rambut, gigi atau kuku tidak batal wudhu'.

4. Menyentuh kemaluan anak adam dengan tapak tangan atau perut anak jari.

Bagi lelaki batang zakarnya yang disentuh batal wudhunya, adapun tempat tumbuh bulu yang di sekelilingnya dan dua biji batu itu tidak batal wudhu dengan menyentuhnya.

Kemaluan perempuan yang dimaksudkan ialah dua bibir yang bertangkup dan kawasan sekitarnya.

Dan batal wudhu dengan menyentuh halaqah dubur anak adam.

MAKRUH SEMASA BERWUDHU'

  1. Mengurangkan basuh dan sapu dari tiga kali.
  2. Melebihkan basuh dan sapunya dari tiga kali.
  3. Mendahulukan basuh atau sapu ke atas pihak kiri dari pihak kanan.
  4. Serentak pada membasuh kanan dan kiri.
  5. Mengambil air sembahyang di dalam air yang tidak berlari seperti di dalam takungan air yang tetap di situ.
  6. Meminta tolong orang lain menjirus ke atas anggota wudhu'.
  7. Membasuh di dalam batin mata.
  8. Membelakangkan kiblat semasa berwudhu'.
  9. Bercakap semasa mengambil wudhu'.

AMALAN-AMALAN SUNAT SEBELUM SEMBAHYANG.

Bagi orang lelaki disunatkan azan (bang) dan iqamah sebelum sembahyang dan bagi orang perempuan di sunatkan iqamah sahaja.

Walau bagaimanapun harus juga bagi orang perempuan melakukan azan (bang) sekiranya tidak dihadiri oleh orang lelaki.

Azan hendaklah dinyaringkan supaya dapat didengari oleh orang ramai yang berada di sekitarnya.

SEMBAHYANG MEMPUNYAI 13 RUKUN

1. Niat

Niat di dalam sembahyang fardhu hendaklah mengandungi qasad , ta'arud , ta'yin , yakni kehendak sembahyang fardhu maghrib atau sebagainya.

Niat di dalam sembahyang sunat yang mempunyai waktu atau sebab hendaklah mengandungi qasad dan ta'yin. Dan bagi sembahyang sunat mutlak yakni sembahyang tidak mempunyai waktu dan sebab memadai dengan niat yang mengandungi qasad sahaja.

Niat hendaklah terkandung di dalam lafaz - Allahu Akbar semasa Takbiratul ihram . Jangan terdahulu niat daripada harf alif pada Allah dan jangan terkemudian daripada harf ra' pada Akbar- (Ar-ramli)

Bagi sembahyang qasar hendaklah ditambah bersama qasad , ta'arud dan ta'yin itu akan qasar , begitu juga bagi sembahyang jemaah hendaklah ditambah niat imam bagi imam dan makmun bagi makmun bersama qasad, ta'arud, ta'yin itu, kerana syarat sah jemaah ialah berjemaah pada awal sembahyang iaitu pada takbiratul Ihram.

2. TAKBIRATUL IHRAM.

Lafaz takbirnya ialah - Allahu akbar.

Kalau tidak berkuasa menyebut lafaz - Allahu akbar - hendaklah diterjemahkan kepada apa bahasa yang ia mengerti.

Sunat diangkatkan kedua tangan semasa berkata Allahuakbar. Angkat itu hendaklah bersetentangan dengan dua bahunya dan dua tapak tangannya dihadapkan ke kiblat kemudian diturunkan kedua belah tangan dengan memegang tangan kanan akan pergelangan tangan kiri dan diletakkan kedua-duanya di paras pusat.

Dua tangan yang diangkat itu berserta dengan menyebut lafaz Allahu akbar.

3. Qiam (berdiri betul)

Maksud Qiam di sini ialah dengan membetulkan tulang belakang bagi yang berkuasa, oleh itu di dalam melakukan Qiam jangan condong ke mana-mana arah dengan tidak meluruskan tulang belakang. Sekiranya condong tidaklah dinamakan qiam dan batal sembahyang.

4. Membaca Fatihah

Wajib membaca fatihah bagi imam, orang yang sembahyang seorang diri dan makmum muafiq yakni makmum yang sempat membaca Fatihah di dalam qiam Imam.

Rasulullah SAW bersabda :

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Yang bermaksud : Tidak sah sembahyang bagi mereka yang tidak membaca Fatihah . (Bukhari, Muslim)

Bagi mereka yang tidak tahu membaca fatihah , hendaklah membaca mana-mana ayat sebanyak fatihah atau membaca mana-mana zikir sekadar huruf Fatihah iaitu sebanyak 156 huruf, kalau tidak tau membaca mana-mana ayat-ayat atau zikir hendaklah diam kadar membaca ayat fatihah (yang dianggarkan lebih kurang 20 saat).

Bacaan fatihah hendaklah berturut-turut dan tidak boleh diselang dengan mana-mana ayat atau zikir ataupun semata-mata diam melainkan bagi menyebut amin imam.

Bacaan hendaklah dengan betul sebutannya, tidak bertukar baris tashdid atau sebagainya.

5. Rukuk

Rasulullah SAW bersabda :

ثم اركع حتى تطمئن راكعا

Yang Bermaksud : Kemudian hendaklah engkau rukuk sehingga Tama'ninah dalam di dalam rukuk, (muttafaq ‘alaih).

Sunat berzikir semasa rukuk iaitu :

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيْمِ

Sebanyak 3 kali.

Sekurang-kurang rukuk hendaklah sampai dua tapak tangan akan kedua kepada lututnya dan yang afdhalnya ialah dengan ratakan belakang dan tengkuk seolah-olah sekeping papan, menegakkan betis dan memegang dua tangan akan dua lutut serta direnggangkan sedikit di antara jari dengan menghalakan belakang tangan ke kiblat.

Semasa turun kepada rukuk sunat ditakbirkan dengan lafaz Allahu Akbar serta angkat kedua belah tangan sebagaimana di dalam Takbiratul ihram.

6. I'tidal

Rasulullah SAW bersabda :

ثم ارفع حتى تعتدل قائما

Yang bermaksud : Kemudian hendaklah engkau bangkit sehingga berdiri tegak (Muttafaq ‘alaih)

Disunatkan semasa bangkit dari rukuk dengan mengangkat dua tangan sehingga berbetulan dua telinga seperti mana Takbiratul ihram sambil mengucap :

سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَه

dan apabila berdiri tegak pula mengucap

رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ .

Bagi sembahyang subuh sunat diqunut semasa i'tidal di dalam rakaat yang kedua sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

قال كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا رفع رأسه من الركوع في صلاة الصبح في الركعة الثانية رفع يديه فيدعو بهذا الدعاء

Yang bermaksud : Berkata Abu Hurairah RA adalah Rasulullah SAW manakala mengangkat kepalanya daripada rukuk pada sembahyang subuh di rakaat yang kedua baginda mengangkat kedua tangannya dan berdoa dengan doa ini :

اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيْمَنْ هَدَيْتَ ، وَعَاْفِنِي فِيْمَنْ عَافَيْتَ ، وَتَوَلَّنِيْ فِيْمَنْ تَوَلَّيْتَ ، وَبَارِكْ لِي فِيْمَا أَعْطَيْتَ ، وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ ، فَإِنَّكَ تَقْضِيْ وَلاَ يُقْضَىعَلَيْكَ ، إِنَّهُ لاَ يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ , تَبَارَكْتَ رَبَّناَ وَتعَالَيْتَ .

Sunat selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW diakhir Qunut dan begitu juga selawat dan salam ke atas keluarga Rasulullah dan para sahabat baginda.

Sunat menadahkan tangan semasa membaca Qunut dan tidak perlu sapu muka manakala selepas Qunut.

7. Sujud dua kali tiap-tiap rakaat.

Rasulullah SAW bersabda :

ثم اسجد حتى تطمئن ساجدا

Yang bermaksud : kemudian hendaklah engkau sujud sehinggalah Tama'ninah di dalam sujud (muttafaq ‘alaih)

Kesempurnaan sujud ialah dengan ditakbirkan bagi turun kepada sujud dengan tidak mengangkat dua tangannya . Dan dihantarkan kedua lutut kemudia dua tapak tangan kemudia dahi dan hidung, sebagaiman yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sunat dibaca :

سُبْحَانَ رَبِّيَ اْلأَعْلَى

tiga kali.

Semasa sujud hendaklah diletakan dua tapak tangan dengan berbetulan dua bahu dan menganjurkan anak-anak jari ke kiblat serta merapatkan di antara anak-anak jari.

Bagi lelaki hendaklah direnggangkan kedua-dua siku dari lambung dan perut dari kedua pehanya pada rukuk dan sujud. Bagi perempuan hendaklah dirapatkan segala yang tersebut.

Diceraikan antara dua kaki kadar sejengkal dengan menyentuh hujung anak jari ke lantai bagi lelaki, bagi perempuan hendaklah dirapatkan sedikit antara kakinya.

Wajib diberatkan kepala dengan sekira-kira jika ditaruh kapas di bawahnya nescaya kepiklan kapas itu.

8. Duduk diantara dua sujud.

Rasulullah SAW bersabda :

ثم ارفع حتى تطمئن جالسا

Yang bermaksud : Kemudian hendaklah engkau bangkit sehingga engkau Tama'ninah di dalam duduk.

Kesempurnaan duduk di antara dua sujud ialah menakala bangkit dari sujud hendaklah mengucap Allahu Akbar beserta dengan angkat kepala dan hendaklah duduk Iftirash iaitu duduk atas tapak kaki kiri dan letakkan hujung jari kaki kanan ke lantai. Meletak dua tapak tangan ke atas kedua lutut serta mengunjurkan jari-jari ke kiblat.

Di dalam duduk antara dua sujud sunat dibaca doa yang dibaca oleh Rasulullah SAW :

رَبِّ اغْفِرْلِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِيْ

Janganlah dipanjangkan I'tidal dan duduk antara dua sujud kerana keduanya rukun pendek. Jikalau dipanjangkan i'tidal dan duduk antara dua sujud dengan sekira-kira sama panjang dengan membaca fatihah bagi i'tidal dan Tahiyat bagi duduk antara dua sujud dengan diketahui akan haramnya maka batallah sembahyangnya.

9. Tasyahhud (Tahiyat Akhir)

Iaitu membaca Tasyahhud akhir, Tasyahhud yang dipilih oleh As-Syafie daripada hadis Ibnu Abbas RA ialah :

التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ ِللهِ ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكاَتُهُ . السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِيْنَ . أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله.

(Riwayat Muslim)

10. Duduk bagi Tasyahhud Akhir

Kesempurnaan duduk bagi Tasyahhud akhir ialah duduk Tawaruk iaitu duduk di atas papan punggung manakala kaki kiri dihulurkan ke sebelah kanan dan diletakkan di bawah betis kanan.

Tangan kanan diletakkan di atas lutut kanan dengan mengenggamkan semua jari kecuali telunjuk hendaklah diluruskan, merapatkan ibu jari lebih ke bawah dari jari telunjuk. Dan mengangkatkan jari telunjuk dengan diluruskan ke kiblat di waktu menyebut kalimah “Illa Allah” di dalam tasyahhud.

Tapak tangan kiri diletakkan di atas lutus kiri dengan menganjurkan jari-jari ke kiblat dengan disamakan paras jari dengan lutut dan merapatkan di antara jari-jari.

11. Solawat atas Nabi Muhammad SAW di dalam tasyahhud akhir.

Para sahabat telah berjumpa dengan Rasulullah SAW bertanya tentang cara selawat ke atas Rasulullah SAW. di dalam sembahyang sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim -

أمرنا الله أن نصلي عليك فكيف نصلي عليك قال : قولوا اللهم صل على محمد وعلى آل محمد

Yang bermaksud : Kami diperintah oleh Allah supaya menselawatkan ke atas engkau (di dalam sembahyang) dan bagaimana cara kami menselawatkan ke atas engkau - Rasulullah SAW bersabda , katakan oleh kamu :

اللهم صل على محمد وعلى آل محمد

12. Salam

Yang paling afdhal di dalam sebutan salam ialah Assamualaikum warahmatullah.

Apabila selesai menyebut warahmatullah sunat dipalingkan muka ke kanan dengan sekira-kira pipi kanan dapat dilihat oleh orang yang di belakang di samping meniat salam kepada Malaikat, Manusia dan Jin yang mukmin.

Dan sunat menceraikan di antara dua salam yakni yang pertama ke kanan dengan salam yang kedua ke kiri atas kadar perceraian yang pendek.

Kemudian memberi salam yang kedua iaitu Assalamualaikum warahmatullah dan apabila selesai menyebut warahmatullah sunat dipalingkan muka ke kiri dengan sekira-kira pipi kiri dapat dilihat oleh orang yang dibelakang di samping meniatkan salam kepada para Malaikat, Manusia dan Jin yang mukmin.

13. Tertib

Hendaklah dilakukan peraturan sembahyang sebagaiman tertib rukun tersebut, di atas.

Kecuali niat wajib disertakan di dalam Takbiratul ihram dan Takbiratul Ihram itu pula dilakukan semasa Qiam dan disertakan pembaca Fatihah semasa Qiam itu.

Begitu juga membaca tasyahhud akhir di dalam duduk bagi tasyahhud akhir dan salam juga semasa duduk di dalam tasyahhud Akhir.

Selain daripada yang tersebut adalah menurut tertib.

SUJUD SAHWI

Sujud Sahwi ialah dua sujud yang dilakukan selepas membaca tasyahhud dan sebelum salam.

Kaifiat dan cara sujud sahwi adalah sama seperti sujud-sujud lain tentang perbuatan sunat dan wajibnya dan sunat dibaca dibaca semasa sujud ialah :

سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَ يَسْهُو

Di antara perkara-perkara yang menyebabkan sunat sujud sahwi ialah :

  1. Meninggalkan sunat Ab'adh iaitu duduk bagi tasyahhud awal, membaca tasyahhud awal, membaca selawat atas Nabi di dalam tasyahhud awal, membaca selawat atas keluarganya dalam tasyahhud akhir, membaca Qunut, berdiri bagi Qunut, membaca selawat atas Nabi dalam Qunut dan membaca selawat atas keluarganya di dalam Qunut.
  1. Mengerjakan perkara-perkara yang membatalkan sembahyang dengan sengaja dan tidak membatalkannya dengan terlupa. Di antaranya memanjangkan rukun pendek, berkata-kata yang sedikit yang tidak melebihi enam perkataan, makan , minum yang sedikit pada ‘uruf , dan melebihi rakaat.
  1. Memindahkan Qauli (bacaan) dari tempatnya sama ada Qauli itu rukun , sunat Ab'adh atau sunat Hai'ah.
  1. Syak pada bilangan rakaat.
  1. Syak pada bacaan sunat Ab'adh.

PERKARA-PERKARA YANG MAKRUH DI DALAM SEMBAHYANG

Di antara perkara-perkara yang makruh dilakukan dalam sembahyang ialah :

  1. Berpaling dengan muka dari kiblat. Adapun berpaling dengan dada dari kiblat batal sembahyang.
  1. Mendongakkan dengan muka ke langit.
  1. Berludah di dalam sembahyang di hadapan atau di kanannya. Sementara berludah ke kiri atau bawah tapak kaki tidak makruh sekiranya sembahyang bukan di dalam masjid. Adapun di dalam masjid , haram berludah walau di pihak mana sekalipun. Begitu juga haram berludah di dalam masjid walaupun di luar sembahyang. Sekiranya berlaku sesuatu yang memerlukan kepada berludah di dalam sembahyang di masjid hendaklah berludah di kain ataupun disediakan bekas ludah di sebelah kiri.
  1. Tidak menutup kepala dan bahu di dalam sembahyang.
  1. Terganggu di waktu sembahyang kerana hendak membuang najis sama ada kecil atau besar ataupun kerana hendak membuang angin (kentut).
  1. Sembahyang di hadapan makanan atau minuman yang teringin kepadanya.
  1. Sembahyang di tengah jalan.
  1. Sembahyang di kubur selain dari kubur Nabi, Rasulullah atau syuhada'.
  1. Menyingkapkan (mengangkatkan) rambut dan kain kerana hendak turun sujud.
  1. Meletakan tangan ke atas mulut tanpa sesuatu hajat.

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN SEMBAHYANG.

  1. Berkata-kata dengan sengaja walaupun satu huruf yang boleh memberi faham akan maksudnya begitu juga berdehem, ketawa, menangis, mengerang, berhembus dengan mulut atau dengan hidung, batuk, bersin, tetapi jika terpaksa ke atasnya dan sedikit pada ‘uruf tidak batal sembahyang.

Begitu juga yakni tidak batal sembahyang seseorang yang terlanjur lidahnya pada berkata-kata yang sedikit pada ‘uruf.

  1. Melakukan gerakan 3 kali berturut-turut dengan anggota besar seperti tangan, kaki, kepala atau tubuh sama ada sengaja atau tidak

Melakukan gerakan dengan anggota kecil seperti mengerakkan jari-jari, bibir, lidah, kelopak mata, kemaluan 3 kali atau lebih tidak batal sembahyang selagi tidak qasad bermain-main dengannya, sekiranya diqasadkan bermain-main dengannya, batal sembahyang.

Batal sembahyang dengan mengerakkan sekalian tubuh atau kebanyakkan tubuh atau melompat.

Dimaafkan perbuatan yang banyak di dalam sembahyang شدة الخوف (diwaktu bersangatan takut) kerana peperangan dan sembahyang sunat di dalam musafir khususnya, atas kenderaan yang bergerak.

  1. Berhadas besar atau berhadas kecil atau keluar angin dari dubur.
  1. Terkena Najis yang tidak dimaafkan

Adapun najis yang dimaafkan tidak mengapa seperti sedikit darah, nanah, air kudis, air bisul, darah tuma, darah kutu dan seumpamanya.

Jika sekiranya jatuh najis yang tidak dimaafkan ke atas seseorang yang sedang sembahyang lalu dengan segera dibuangkan najis itu sebelum lagi berlaku masa Tama'ninah, tidak batal sembahyang.

  1. Terbuka aurat

Terbuka aurat ini sama ada disengajakan atau tersalah atau dibuka oleh binatang oleh kanak-kanak yang belum mumayyiz.

Sekiranya dibuka oleh angin dan ditutup segera yakni sebelum Tama'ninah tidak batal sembahyang selama tidak berulang-ulang dan berturut-turut.

  1. Mengubah niat atau digantungkan niat dengan sesuatu, seperti niatnya akan berhenti sembahyang kalau turun hujan atau seumpamanya.

Tidak batal sembahyang seseorang yang menukar niat sembahyang fardhu kepada niat sembahyang sunat mutlak kerana ingin berjemaah sembahyang fardhu.

  1. Berpaling dari kiblat dengan dada.

Jika berpaling dari kiblat dengan mukanya tidak batal sembahyang tetapi makruh sebagaimana yang telah dinyatakan dahulu.

Batal juga sembahyangnya sekiranya dipalingkan oleh orang lain.

Adapun jika berpaling dengan jahil atau terlupa dan segera kembali mengadap kiblat tidak batal sembahyangnya.

  1. Makan, minum atau menelan air liur yang bercampur dengan makanan atau minuman.

Makan, minum dengan lupa dan sedikit pada ‘uruf tidak batal sembahyang.

  1. Memanjangkan rukun yang pendek iaitu i'tidal dan duduk antara dua sujud dengan sekira-kira sama pada bacaan Fatihah bagi I'tidal dan sama lama pada bacaan tahiyat bagi duduk antara dua sujud.
  1. Terkemudian makmum daripada imamnya dengan dua rukun dengan ketiadaan uzur. Atau terdahulu makmum dari imam dengan dua rukun. Adapun terdahulu dengan satu rukun hukumnya haram tetapi sembahyangnya tidak batal.
  1. Murtad , wal'iazubillah
  1. Niat membatalkan sembahyang.

والله أعلم بالصواب وإليه المرجع والمآب